Irsyad tawar CCA baru aikido dan kelab Lego

Senarai diluaskan kepada murid baru untuk jadikan pengalaman belajar lebih menyeluruh
[email protected]
MURID-MURID darjah satu yang bakal memulakan persekolahan di Madrasah Al-Irsyad Al- Islamiah tahun depan berpeluang menyertai aktiviti kokurikulum (CCA) menarik, seperti seni mempertahan diri Jepun aikido atau belajar sambil bermain dalam kelab permainan Lego.
Senarai CCA yang baru dicuba madrasah itu tahun ini akan diluaskan kepada murid barunya tahun depan sebagai langkah menjadikan pengalaman belajar di madrasah lebih menyeluruh. Ketika dihubungi, Pengetua Madrasah Al-Irsyad, Encik Noor Isham Sanif, berkata percubaan memperkenalkan CCA tersebut menerima sambutan baik. “Murid darjah satu tahun depan juga boleh menyertai kegiatan tersebut,” kata Encik Noor Isham.
Menurut beliau, Madrasah Al- Irsyad akan menerima pendaftaran bagi kemasukan darjah satu dari lusa sehingga 6 April ini. Seperti tahun-tahun lalu, murid-murid yang layak kemudian perlu menduduki ujian kemasukan dan hanya mereka yang lulus berpeluang memulakan persekolahan di madrasah itu. Menurut Encik Noor Isham lagi, langkah mengadakan ujian itu bagi menilai kesediaan murid kerana “permintaan kami tinggi dan kami terhad kepada hanya enam buah kelas”.
Sebanyak 210 tempat ditawarkan, dengan setiap kelas mempunyai sekitar 30 orang murid. “Bilangan murid dalam kelas ini adalah optimal dan tidak akan menjejas mutu pembelajaran. Bahkan, ada sekolah nasional yang masih memasukkan sehingga 40 murid dalam sesebuah kelas,” kata Encik Noor Isham, sambil menambah Madrasah Al-Irsyad sedia dan lengkap bagi memenuhi keperluan pelajar darjah satunya.
Sebagai persiapan bagi ibu bapa yang mahukan maklumat lebih lanjut mengenai kurikulum dan pengalaman bersekolah di madrasah, Madrasah Al-Irsyad akan mengadakan Rumah Terbuka Darjah Satu Sistem Madrasah Bersama (JMS) hari ini di kampusnya di Hab Islam Singapura (SIH). Ini merupakan sesi rumah terbuka JMS yang pertama.
Madrasah Al-Irsyad merupakan satu-satunya madrasah peringkat rendah dalam JMS dan murid- murid boleh meneruskan pengajian ke dua lagi madrasah JMS bagi pendidikan menengah – Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah bagi aliran sekular dan Madrasah Aljunied Al-Islamiah bagi aliran ukhrawi. Menurut Encik Noor Isham, antara yang boleh dijangkakan ibu bapa dalam rumah terbuka itu termasuk mengenali kurikulum dan pedagogi JMS menerusi gerai- gerai interaktif, permainan pendidikan dan demonstrasi bilik darjah.
Kurikulum ukhrawi baru, Azhar 2.0, yang bakal dilaksana mulai 2015 dan program International Baccalaureate (IB) yang akan ditawarkan pada 2019 – kededuanya di Madrasah Aljunied – juga akan dijelaskan. “Semua ini akan menarik ibu bapa ke sesi rumah terbuka kali ini,” kata Encik Noor Isham, sambil menambah bahawa pihaknya menganggarkan sekitar 500 ibu bapa hadir ke sesi rumah terbuka kali ini. Dua madrasah lain, Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah dan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah – kededuanya hanya mengambil murid perempuan – juga menawarkan kelas darjah satu tahun depan. Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah pula hanya dibenarkan menerima semula murid darjah satu mulai 2015. Ketiga-tiga madrasah tidak berada dalam JMS.