Highlights

Madrasah Al-Irsyad dengan rasminya dikenali sebagai Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah

photo18Oleh: Nity Farhana Dolhamid, Emillia Amin

Sebuah galeri yang memaparkan sumbangan besar seorang warga perintis yang juga guru agama, Kiayi Haji Ahmad Zuhri Mutammim, dilancarkan hari ini.

Pelancaran itu dilakukan sempena acara rasmi menukar nama Madrasah Irsyad Al-Islamiah kepada Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah.

Di acara petang tadi juga 24 guru madrasah kohort pertama menerima Ijazah Sarjana Pendidikan dalam Pedagogi Bahasa Arab di satu majlis konvokesyen. Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim melancarkan Galeri Irsyad Zuhri bersama anak-anak dan cucu-cucu Kiayi Zuhri. Seramai 16 anggota keluarga tiga generasi Kiayi Zuhri hadir untuk menyaksikannya.

Sebagai anggota golongan perintis, Kiayi Zuhri memainkan peranan penting dalam penubuhan Madrasah Irsyad pada 1947 dan terkenal dalam sektor pendidikan Islam sehingga tahun-tahun 1980an. Lantaran itu menurut Dr Yaacob, meletakkan nama Kiayi Zuhri pada madrasah Irsyad hanyalah satu langkah yang kecil tetapi mempunyai erti yang besar.

“Saya rasa langkahnya kecil tapi maknanya begitu penuh dan terutama sekali saya harap golongan muda kita mengambil masa untuk mengenal apakah sumbangan-sumbangan perintis kita seperti Encik Yusof Ishak dan Kiayi Zuhri dan bagaimana mereka boleh juga fikir bersama sebagai golongan muda, masa depan Singapura dan bagaimana mereka boleh menyumbang terhadap negara dan masyarakat kita,” jelas Dr Yaacob.

Cucu Kiayi Ahmad Zuhri Mutammim, Wan Nadia Mohd Yusof Ahmad Zuhri berkata, “Mungkin sebelum ini saya kurang tahu tentang datuk saya sendiri. Tetapi Alhamdulillah apabila saya bekerja di sini dan kemudian membuat kajian, saya rasa beruntung mendapat seorang alim dalam keluarga dan saya rasa bersemangat untuk menyambung apa datuk saya telah lakukan.”

Di acara ini juga, cek $250,000 hasil kutipan dari para pelajar dan masyarakat disampaikan. Dengan sumbangan suku juta dolar itu, Wakaf Irsyad kini mencecah jumlah setengah juta dolar. Dan bagi memperingati pencapaian itu, Wakaf Irsyad juga diubah namanya kepada Wakaf Irsyad Zuhri. Sehubungan dengan itu, satu acara konvokesyen diadakan bagi kohort pertama 24 guru madrasah yang menamatkan pengajian peringkat Sarjana Pendidikan dalam Pedagogi Bahasa Arab.

Program dua tahun itu dikendalikan bersama Universiti Islam Negeri Maulana Malik Ibrahim di Malang, Indonesia. Universiti tersebut merupakan yang terbaik di Indonesia dalam pengajian bahasa Arab.