Highlights

Aisyah cemerlang bidang ukhrawi duniawi

photo15KEPUTUSAN PSLE

nurdhuha@sph.com.sg

SEDANG murid darjah enam lain bersuka ria selepas Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) September lalu, Aisyah Nurul Izza dan rakan-rakannya di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah kembali menelaah pelajaran ukhrawi yang mereka ketepikan buat sementara.

Ini kerana sebulan selepas PSLE, mereka perlu menduduki Peperiksaan Penyaluran Pengajian Islam (ISPE) merangkumi lima mata pelajaran iaitu Bahasa Arab; Bacaan dan Pengajian Quran; Sirah dan Hadis; Akidah, Fiqah dan Akhlak; serta Pengajian Sosial Islam.

Anak sulung pasangan jurutera dan suri rumah dari Indonesia itu jatuh sakit semasa ISPE. Namun, murid warga Indonesia itu tetap cemerlang dalam kedua-dua peperiksaan. Aisyah mendapat agregat 269 dalam PSLE dengan kelulusan gred A* dalam keempat-empat mata pelajaran, dan gred keseluruhan A* dalam ISPE. Dia menjadi murid madrasah terbaik tahun ini dan yang terbaik sejak pelajar madrasah diwajibkan mengambil PSLE pada 2008.

Aisyah juga muncul sebagai antara 10 murid terbaik dalam ISPE tahun ini. Peperiksaan itu hanya diduduki murid Madrasah Irsyad Zuhri, satu-satunya madrasah di bawah Sistem Madrasah Bersama (JMS) yang menawarkan pendidikan rendah. Ditemui selepas menerima keputusan semalam, Aisyah, 12 tahun, berkata dia bukan jenis yang belajar berbulan-bulan sebelum peperiksaan.

“Saya seperti kebanyakan pelajar, belajar pada saat akhir sebelum peperiksaan. Namun, saya memastikan saya memberi perhatian penuh di dalam kelas dan membuat tugasan yang diberi guru dengan teliti dan bersungguh-sungguh,” kata anggota jawatankuasa eksekutif pemimpin pelajar Madrasah Irsyad Zuhri itu. Dengan keputusan itu, Aisyah boleh melanjutkan pendidikan ukhrawi peringkat menengah di bawah JMS di Madrasah Aljunied atau pendidikan sekular di Madrasah Al-Arabiah.

Dia juga boleh memohon melanjutkan pelajaran di sekolah menengah nasional termasuk sekolah perdana seperti Sekolah Perempuan Raffles (RGS). Aisyah belum membuat keputusan sama ada ingin meneruskan pelajaran di madrasah atau sekolah menengah nasional tetapi berhasrat menceburi aliran sekular kerana meminati kimia dan matematik.

“Anak-anak ini selama enam tahun, kami telah terapkan strategi yang sangat menyeluruh. Sokongan ibu ayah pun memainkan peranan yang amat penting. Semuanya akhirnya membuahkan hasil yang sangat menyenangkan hati.” – Pengetua Madrasah Al-Irsyad, Encik Nor Isham Sanif, mengenai pencapaian pelajar Madrasah Irsyad Zuhri.