Highlights

Semangat Kiai Zuhri sentiasa di Irsyad

photo14PENAMAAN SEMULA MADRASAH DEMI MENGIKTIRAF SUMBANGAN WARGA PERINTIS

CATATAN

ABDUL RAZAK MOHAMED LAZIM

SEKITAR 67 tahun lalu, pada 1947, Kiai Haji Ahmad Zuhri Mutammim menggembleng tenaga asatizah muda di bawah bimbingannya untuk membangunkan Maahadul Irsyad, yang sekarang dikenali sebagai Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah.

Dengan Ustaz Basri berperanan selaku pengerusi, manakala Ustaz Idris Ahmad selaku mudir – kedua-duanya pelajar bimbingan Kiai Ahmad Zuhri – mereka memulakan perjuangan membimbing masyarakat Islam di Kampung Quarry. Setelah bertahun-tahun Maahad Irsyad bertahan, arus pembangunan yang telah melenyapkan banyak kampung di serata Singapura akhirnya sampai ke Kampong Quarry di kawasan Bukit Timah.

Justeru, bermulalah penghijrahan Irsyad ke beberapa bangunan sementara. Pertama, mereka beroperasi di bangunan lama Sekolah Rendah Bukit Panjang, Woodlands Road, dari 1991 hingga 1996. Kemudian, mereka berpindah ke bangunan Sekolah Rendah Monk’s Hill, Winstedt Road, dari 1996 hingga 2008. Dalam era peralihan tersebut, Irsyad ditadbirkan oleh Perdaus. Perdaus ialah badan dakwah yang antara pengasasnya ialah Kiai Ahmad Zuhri. Lantas, Irsyad terus dipimpin oleh entiti yang menerima sentuhan Kiai Ahmad Zuhri.

Selanjutnya, pada awal 2000-an, Perdaus menyerahkan pentadbiran Irsyad kembali kepada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). Anak Kiai Ahmad Zuhri, Cikgu Mohamed Yusuf Zuhri, yang diberi tarbiah secara peribadi dari kecil, mula duduk dalam jawatankuasa pentadbir Irsyad. Roh dan sentuhan Kiai Ahmad Zuhri terus membimbing Irsyad.

Lantaran itu, apabila Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, menyarankan supaya sumbangan golongan perintis diabadikan pada nama madrasah, jawatankuasa Irsyad menyarankan supaya nama pengasasnya, Kiai Ahmad Zuhri, diberi pengiktirafan tersebut. Pada masa yang sama, pentadbir Irsyad ingin mengekalkan warisan dan tradisi jenama Irsyad.

Keputusan yang dibuat akhirnya ialah menggandingkan kedua-dua nama – Irsyad dan Zuhri – sebagai nama baru madrasah tersebut. Pihak jawatankuasa telah meminta jasa baik Mufti Singapura, Dr Fatris Bakaram, menyarankan nama baru madrasah berdasarkan gandingan kedua-dua nama itu. Alhamdulillah, usulan Mufti diterima pihak jawatankuasa.

Nama ‘Madrasah Irsyad Zuhri’ merupakan suatu ‘kurniaan’ Allah dalam mengekalkan roh dan sentuhan Kiai Zuhri pada Irsyad. Ahli jawatankuasa Irsyad, Cikgu Shafawi Ahmad, berkata: “Ia adalah satu penghormatan yang tinggi kepada Irsyad apabila keluarga Kiai Ahmad Zuhri membenarkan nama beliau digandingkan dengan Irsyad bagi nama baru madrasah tersebut. “Kami berbangga dengan salasilah Irsyad yang berasal daripada seorang ulama masyhur.” Dahulu, Kiai Ahmad Zuhri pergi ke pulau-pulau sekeliling Singapura untuk menyebarkan pendidikan agama. Sekarang, perjuangannya itu diteruskan oleh Irsyad melalui projek penyerantauannya.

Model Irsyad sudah dieksport ke negara jiran. Sukatan pelajarannya juga digunakan di madrasah rantau ini. Semoga semua usaha merupakan amal jariah yang berterusan dan ganjarannya sampai kepada semua yang terlibat di dalam usaha ini dari awal pembangunan Irsyad, terutama sekali Kiai Zuhri.

Penulis Pengarah Kanan Madrasah, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).