Highlights

Madrasah Al-Irsyad tukar nama pada Madrasah Irsyad Zuhri

irsyad_logoUCAPAN DR YAACOB IBRAHIM DI MAJLIS HARI RAYA

MADRASAH Al-Irsyad Al-Islamiah akan mempunyai nama baru – Madrasah Irsyad Zuhri.

Langkah menamakan semula madrasah itu bertujuan memberi pengiktirafan kepada tokoh agama perintis Allahyarham Kiyai Haji Ahmad Zuhri Mutammim atas sumbangan beliau memainkan peranan sebagai penasihat semasa pembangunan awal madrasah tersebut.

Nama baru madrasah di Hab Islam Singapura di Braddell Road itu diumum Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, dalam ucapan bahasa Melayunya dalam majlis Hari Raya di Hotel Marina Mandarin malam tadi.

“Langkah tidak seberapa ini diharap dapat menghargai jasa besar Allahyarham kepada Madrasah Al-Irsyad,” kata beliau. Dr Yaacob berkata menamakan institusi sempena nama perintis ialah antara cara menjunjung budi mereka. Menurutnya, Madrasah Al-Irsyad dekat pada hati Allahyarham Kiyai Haji Ahmad Zuhri memandangkan ia ditubuhkan sekumpulan bekas pelajar beliau.

“Mereka telah mendapatkan nasihat beliau untuk menubuhkan madrasah itu dan juga untuk melaksanakan peringkat awal pembangunannya,” kata Dr Yaacob. Ramai mengenali Allahyarham sebagai tokoh agama tempatan yang banyak menabur budi dan bakti kepada agama dan masyarakat. Allahyarham antara anggota pengasas Persatuan Guru-Guru Agama Islam dan Ulama Singapura (Pergas) dan presiden pertama badan itu.

Beliau juga pernah menjadi anggota Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan pengerusi serta penasihat Masjid Alkaaf Kampung Melayu. Allahyarham meninggal dunia pada pagi Hari Raya Aidilfitri 1985 ketika berusia 80 tahun. Sebuah institut pendidikan swasta, Institut Pendidikan Al-Zuhri, dinamakan sempena nama Allahyarham juga bagi mengiktiraf jasanya dalam bidang agama. Dr Yaacob berkata generasi perintis Melayu/Islam telah berganding bahu dengan kaum lain demi membangunkan negara Singapura yang aman, makmur dan dapat dibanggakan semua.

Beliau berkata jasa dan bakti mereka dalam pelbagai bidang, daripada politik sehinggalah sosial, keagamaan dan pendidikan, telah membantu membina sebuah masyarakat yang mempunyai taraf hidup lebih baik dan lebih kukuh. Laporan oleh NUR’ ADILAH MAHBOB, HASLEEN BACHIK, ATIYYAH MOHD SAID dan IRMA KAMARUDIN