Highlights

Qariah Kelantan bimbing pelajar Al-Irsyad

photo13MENJELANG MAJLIS TILAWAH DAN TAHFIZ AL-QURAN (MTTQ) KEBANGSAAN SINGAPURA 2014
hasleen@sph.com.sg

SEJAK September lalu, Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah telah mendapatkan khidmat pembimbing pakar dari Kelantan, Malaysia, bagi melatih pelajarnya mengasah pembacaan dalam ilmu Al-Quran dalam usaha membangun kumpulan qari dan qariah cilik.
Sebagai permulaan, pihak madrasah telah menerbangkan tokoh yang bukan calang-calang iaitu Hajah Faridah Haji Mat Saman, 65 tahun, yang mencatat sejarah sebagai qariah yang paling banyak menjuarai tilawah peringkat antarabangsa iaitu sebanyak lapan kali bagi membimbing pelajar yang menyertai pertandingan.

Madrasah itu juga kini mempunyai Akademi Al-Quran Al-Irsyad – projek di bawah Jabatan Tarbiyah Madrasah Al-Irsyad – satu inisiatif kecil namun melambangkan hasrat murni pihak madrasah memartabatkan Al-Quran ke tahap lebih tinggi, ujar Pengetua Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah, Encik Noor Isham Sanif.

Menyentuh tentang usaha mendapatkan pembimbing pakar dari Kelantan, Encik Noor Isham berkata: “Kita maklum bahawa pembangunan ilmu Al-Quran di Kelantan sangat luas dan mendalam. Dari itu, Kelantan menjadi tempat pertama yang kami tinjau.”

Apa yang lebih utama, ujar Encik Noor Isham, adalah tokoh individu pelatih itu sendiri.

Hajah Faridah, contohnya, adalah qariah handalan yang menjadi buruan. Beliau adalah juara tilawah peringkat antarabangsa seawal usia 15 tahun iaitu pada 1964 lalu mencatat kejayaan berulang pada 1965, 1972, 1976, 1977, 1989, 1990 dan 1991. Di Kelantan pula, jumlah pelajarnya terdiri daripada golongan individu dan persatuan. Malah, beliau turut mengajar sejauh Seremban.

“Kami mahu latih pelajar agar menjadi johan. Maka kami pilih johan untuk ada johan,” ujar Penyelaras Al-Quran di Madrasah Al-Irsyad, Encik Zulkifli Mohd Saad, 49 tahun, yang mengendalikan pentadbiran seperti melakar program dan pelatih.

Sejak September lalu, Hajah Faridah, tambah Encik Zulkifli, kerap berulang-alik antara Kelantan dengan Singapura untuk melatih 12 pelajar Madrasah Al-Irsyad yang sedang membuat persiapan menyertai Majlis Tilawah dan Tahfiz Al-Quran (MTTQ) Kebangsaan Singapura 2014. Peringkat akhirnya akan diadakan di Hab Islam, Braddell Road, pada 18 dan 19 April ini.

Latihan untuk kumpulan yang bakal bertanding biasanya diadakan pada hujung minggu dan pada masa cuti sekolah pula ia lebih bercorak intensif sepanjang hari.

Menurut Encik Zulkifli, pada awalnya Hajah Faridah yang melatih pelajar itu dalam bidang taranum – kaedah memperindah bacaan Al-Quran secara berlagu – agak ragu-ragu mahu ke Singapura apatah lagi mendidik golongan cilik.

“Biasanya, saya mengajar orang dewasa dan kalau ada yang paling muda pun umurnya dalam 15 atau 18 tahun. Inilah kali pertama saya terima kumpulan anak-anak sekecil ini dan bila saya cuba, rupa-rupanya, lebih mudah mengajar anak-anak ini kerana mereka senang dibentuk,” akui Hajah Faridah.