Highlights

Titisan air mata dalam laluan kejar ijazah

photo10Pelajar Universiti Al-Azhar capai kepujian tertinggi biarpun hadapi cabaran budaya dan warga Mesir
irmak@sph.com.sg

BELIAU pergi ke Mesir dengan tangisan air mata dan kembali ke tanah air dalam keadaan yang sama.

Demikian kisah siswazah cemerlang Universiti Al-Azhar, Cik Tan Nurul Hafidzah Abdul Hadi, yang mengongsi cerita pahit manisnya belajar di Mesir. Cik Hafidzah, 25 tahun, dipilih bagi memberi ucapan perpisahan di majlis penyampaian ijazah pelajar Universiti Al-Azhar di Hab Islam Singapura, kelmarin.

Beliau merupakan pelajar cemerlang bagi program sarjana muda dalam bidang syariah, yang berjaya meraih Mumtaz Syaraf ataupun gred Kelas Pertama – iaitu kepujian tertinggi di Universiti Al-Azhar. Turut hadir di majlis tersebut selaku tetamu terhormat ialah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

Bekas pelajar Madrasah Al-Irsyad itu berkata beliau pada mulanya ingin melanjutkan pengajian dalam mata pelajaran kegemarannya, iaitu Matematik. Namun, setelah memasuki Madrasah Wak Tanjong bagi meneruskan pengajian di peringkat prauniversiti dan peringkat Sijil Am Pelajaran (GCE) ‘A’, beliau jatuh cinta dengan bidang Islam.

Awalnya, Cik Hafidzah berkata beliau menuntut di Universiti Maahad Fatah di Syria dalam bidang syariah selama setahun setelah menggenggam sijil GCE peringkat ‘A’. Bagaimanapun, universiti tersebut mengalami masalah dengan pelajar luar negara dan bapanya menyarankan beliau supaya ke Mesir untuk meneruskan pengajian. Menurut Cik Hafidzah, beliau tidak henti menangis selama beberapa hari pertamanya di Mesir kerana menghadapi kesukaran menyesuaikan dirinya dengan budaya dan warga di sana.

“Budayanya berbeza daripada Syria dan bahasa Arab pasar yang digunakan orang-orangnya – seolah-olah mereka sedang memarahi anda apabila mereka berbual. Saya ambil masa yang agak lama untuk sesuaikan diri di sana,” kata anak kedua dalam empat beradik yang berkacukan Cina dan Melayu itu. Namun, lama-kelamaan setelah mengenali rakan-rakan baru, beliau mula jatuh cinta dengan Mesir. Dari segi bahasa dan pertuturan, Cik Hafidzah berkata beliau menghadapi cabaran dalam memahami bahasa Arab pasar yang digunakan.

Dari segi pengajian pula, beliau berkata sistem pemarkahan di Universiti Al-Azhar bergantung 100 peratus pada keputusan peperiksaan mereka, dan bukan dengan merangkumi markah daripada kerja sekolah dan ujian kelas. Justeru, beliau harus belajar dengan gigih dan memastikan keputusannya kekal cemerlang. Menceritakan pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan pula, Cik Hafidzah berkata beliau dan rakan-rakannya terpaksa dihantar pulang ke tanah air apabila pemberontakan Arab Spring berlaku pada 2011.

“Kami menyaksikan askar- askar berbaris dan kenderaan tentera lalu di hadapan asrama kami. Kami juga lihat sendiri orang ramai mengadakan bantahan dan rusuhan. “Sebagai warga Singapura, saya memang rasa trauma tapi alhamdulillah, semuanya O.K.,” kata beliau. Memandang ke hadapan, Cik Hafidzah berkata beliau ingin memberi sumbangan kembali kepada masyarakat dengan menyebarkan ilmu yang diraihnya dari Universiti Al-Azhar.

Beliau juga berharap dapat meneruskan pengajiannya ke peringkat sarjana dalam bidang syariah pada masa depan. “Universiti Al-Azhar mendidik kami mengenai sikap cinta terhadap ilmu pengetahuan, jadi saya rasa sumbangan yang saya boleh lakukan ialah dengan menyebarkan cinta yang telah disemai itu kepada orang ramai,” katanya, yang kini bertugas sebagai guru sambilan.