Highlights

Dari madrasah ke universiti ulung dunia

photo09DARI madrasah ke universiti ulung dunia atau Ivy League.

irmak@sph.com.sg

Inilah yang berjaya dicapai tiga bekas pelajar madrasah berkat usaha tanpa jemu mereka dalam memburu cita-cita mencapai kecemerlangan.

Cik Muslihah Albakri, 21 tahun; Cik Siti Nurnadhirah Mohd Ikhsan, 21 tahun; dan Encik Abdul Halim Ali Akbar, 23 tahun, menerima pendidikan rendah dan menengah di madrasah – dan ini tidak menghambat mereka untuk meneroka pendidikan sekular. Ketiga-tiganya merupakan antara lima penerima Biasiswa Berprestij Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) tahun ini.

Mereka menerima biasiswa itu dalam satu majlis di LBKM di Wisma Indah, Changi Road, semalam. Dua lagi penerima biasiswa itu ialah Cik Nadiah Hashim Arrifin, seorang mahasiswi di Imperial College London dalam jurusan perubatan dan pembedahan dan Cik Kymelya Sari Mohammad Raji, yang akan melanjutkan pengajian di Universiti Columbia dalam jurusan kewartawanan di New York.

Cik Muslihah, seorang pelajar yang sedang menuntut di Universiti Cambridge dalam jurusan politik, psikologi dan sosiologi di United Kingdom berkata beliau berasa sangat gembira dapat menerima biasiswa itu. “Tentu sekali, biasiswa ini akan menjadi pendorong bagi saya untuk melakukan yang terbaik dalam pengajian saya,” kata bekas pelajar Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah itu yang menerima biasiswa bernilai $10,000.

Beliau, yang meraih ijazah diploma daripada Politeknik Ngee Ann dalam jurusan psikologi dan perkhidmatan masyarakat dengan gred mata purata (GPA) 3.985 (GPA terbaik ialah 4) tahun lalu, berkata beliau sememangnya minat dalam bidang psikologi sejak dulu lagi.

“Saya memang minat untuk bekerja dengan orang ramai dan minat dalam mempelajari tentang kelakuan dan tingkah-laku manusia serta penyakit psikologi,” kata beliau. Cik Muslihah bercita-cita menjadi seorang pakar psikologi pada suatu hari nanti dan ingin memberi sumbangan kembali kepada masyarakat menerusi kepakarannya itu. Bagi Cik Siti Nurnadhirah pula, ia merupakan tahun ketiga beliau menerima biasiswa tersebut secara berturut-turut.

Bekas pelajar Madrasah Al-Maarif itu akan memulakan pengajian tahun ketiganya di University College London dalam jurusan sains kemanusiaan tidak lama lagi. Minat Cik Siti Nurnadhirah terletak dalam bidang sains saraf kognitif atau cognitive neuroscience – iaitu p`embelajaran mengenai otak manusia dan bagaimana ia berfungsi. “Otak manusia sangat berbeza dan istimewa, ada bahagian yang boleh dijelaskan secara saintifik dan ada yang tidak. Sehingga hari ini, tidak ada orang yang boleh menjelaskan secara penuh fungsi kesemua bahagian otak, jadi saya ingin mendalami bidang ini,” katanya, yang menerima biasiswa bernilai $10,000.

Cik Siti Nurnadhirah ingin mewakili masyarakat Melayu dalam bidang sains kemanusiaan dan berharap dapat menjadi seorang penyelidik pada masa depan. Mahasiswa Imperial College London, Encik Abdul Halim Ali Akbar, pula berkata sejak kecil lagi, beliau begitu minat sekali dalam bidang penerbangan dan angkasa. Malah, angkasawan Malaysia, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, merupakan semacam idola bagi beliau.

Justeru, tidak menghairankan apabila pemuda tersebut memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan penerbangan. Bekas pelajar Madrasah Al-Irsyad itu melanjutkan pengajian ke Imperial College London setelah meraih ijazah diploma daripada Politeknik Singapura dalam jurusan kejuruteraan penerbangan dengan GPA 3.9. Meskipun keadaan pembelajaran di London dan Singapura adalah berbeza dan mencabar, Encik Abdul Halim berkata rakan universitinya banyak membantu dalam pelajarannya.

Impian Encik Abdul Halim ialah untuk melihat sebuah pertubuhan angkasa Islam dibangunkan pada masa depan dan beliau bercita-cita menjadi seorang pensyarah dan penyelidik dalam bidang berkaitan penerbangan atau angkasa. “Saya berharap anak muda Melayu yang lain akan berusaha dengan lebih gigih dan akan melakukan lebih baik daripada apa yang telah saya raih,” katanya, yang menerima biasiswa bernilai $15,000 kerana akan menyambung terus pengajiannya ke peringkat sarjana.