Highlights

Wakaf Irsyad dilancar

photo08Berjaya kumpul $100,000 untuk disalurkan kepada Wakaf Ilmu
irmak@sph.com.sg

WAKAF Irsyad, sebuah inisiatif pengumpulan dana oleh Madrasah Al-Irsyad, telah dilancarkan sempena rumah terbuka bagi Sistem Madrasah Bersama (JMS) 2013 semalam.

Sumbangan daripada Wakaf Irsyad itu akan disalurkan kepada Wakaf Ilmu agar wang tersebut dapat diuruskan bagi pembangunan pendidikan Madrasah Al-Irsyad. Ia terutamanya akan dimanfaatkan bagi pembangunan pelajar seperti menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah. Sejauh ini, inisiatif wakaf itu telah berjaya mengumpulkan sebanyak $100,000 pada tahun lalu, hasil daripada sokongan para pelajar Madrasah Al-Irsyad itu sendiri.

Wang tersebut berupa cek telah diberikan kepada Penolong Pengarah Pembangunan Aset, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Dr Shamsiah Abdul Karim, semasa majlis pelancaran Wakaf Irsyad di Hab Islam Singapura, Braddell Road. Wakaf Ilmu, yang dilancarkan pada 5 September tahun lalu, merupakan sebuah dana pembiayaan yang dibentuk bagi memupuk semangat dermawan di kalangan masyarakat Islam dan mencipta sumber berkekalan bagi pembiayaan kesemua madrasah di Singapura.

Sehingga 21 Mac lalu, Wakal Ilmu telah mengumpulkan sebanyak $5 juta, termasuk sumbangan $100,000 daripada Wakaf Irsyad itu. Berucap di majlis tersebut, tetamu terhormat, Mufti Negara, Dr Mohamed Fatris Bakaram, berkata sumbangan wakaf adalah penting demi mengekalkan institusi madrasah di Singapura. “Langkah Al-Irsyad untuk mewujudkan wakaf bagi membantu madrasah mereka merupakan langkah yang bijak dan penting sekali,

“Lebih-lebih lagi untuk menjayakan model pendidikan JSM yang dibentangkan baru-baru ini,” katanya. Sebelum ini, Madrasah Al-Irsyad telah memberi setiap pelajarnya sebuah ‘Tabung Keluarga Irsyad‘ bagi menggalak mereka menabung dan memupuk sifat memberi pada yang usia muda. Seorang pelajar Madrasah Al-Irsyad, Khairuddin Azhar Johari, 15 tahun, juga telah diberi sijil penghargaan semasa majlis pelancaran kerana berjaya mengumpul $2,111.80 untuk Wakaf Irsyad.

Khairuddin berkata, dia tidak sangka dapat mengumpul wang sebanyak itu dan berasa gembira wang yang dikumpulkan akan dapat membantu rakan-rakannya yang memerlukan. “Saya selalu letakkan sebanyak 40 sen atau 50 sen dalam tabung yang diberi, tapi yang paling banyak memberi sumbangan ialah nenek, datuk dan ibu bapa saya,” kata pelajar menengah tiga itu. Pada masa yang sama, sebuah acara rumah terbuka JMS juga telah diadakan buat julung-julung kalinya di Hab Islam Singapura semalam.

Ramai ibu bapa menghadiri rumah terbuka itu bagi mengetahui lebih mendalam mengenai laluan pengajian madrasah menerusi JMS serta kurikulum pendidikan Madrasah Al-Irsyad. Dalam rumah terbuka itu, beberapa kegiatan telah diadakan termasuk persembahan seni mempertahankan diri Jepun aikido dan lawatan meninjau kelas-kelas yang disediakan di Madrasah Al-Irsyad.