Highlights

Pelajar madrasah jadi ‘tok selampit’, pemandu muzium

adilaham@sph.com.sg

JIKA biasanya pelajar Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah, Amir Amri Alfian, menghafal surah atau formula sains di sekolah, minggu lalu beliau sibuk pula menghafal ‘skrip’ cerita rakyat Si Tanggang.

Amir, 15 tahun, merupakan antara 80 pelajar dari tiga madrasah yang membantu menjayakan karnival Bulan Bahasa di Muzium Tamadun Asia (ACM) pada hujung minggu lalu.

“Ini kali pertama saya ke muzium ini. Ia satu pengalaman yang menarik sekali kerana muzium ini mengandungi banyak maklumat mengenai Dunia Islam di Asia, contohnya,” kata Amir, yang melakonkan peranan utama sebagai Tanggang dalam sesi cerita rakyat yang dilakonkan. Skrip serta pelbagai prop lakonan disiapkan oleh pelajar madrasah itu sendiri.

Madrasah Al-Irsyad turut mempersembahkan cerita Singapura Dilanggar Todak dalam sesi cerita itu. Secara keseluruhannya, seramai 51 pelajar madrasah tersebut terlibat dalam dua persembahan itu. Dua lagi madrasah yang menjayakan kempen Bulan Bahasa tahun ini ialah Al-Arabiah Al-Islamiah dan Aljunied Al-Islamiah.

Ini kali pertama pelajar madrasah terlibat dalam kempen Bulan Bahasa sejak ia dilancarkan pada 1988. Selama dua hari berturut-turut, pelajar dari ketiga-tiga madrasah itu telah berpeluang menjadi ‘tok selampit’, pelakon dan pemandu muzium di karnival tersebut sempena pelancaran kempen itu tahun ini. Pelajar Madrasah Aljunied, Muhammad Nur Firman Mohamed, 18 tahun, merupakan antara tujuh pelajar dari madrasahnya yang menjalani latihan dua hari untuk menjadi pemandu muzium, bersama 18 lagi pelajar dari Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Mereka terlibat menjelaskan tentang artifak purba di muzium tersebut dan kaitannya dengan seni, warisan dan sejarah Islam kepada pengunjung Islam dan bukan Islam. “Saya bangga terlibat kerana bukannya selalu pelajar madrasah dapat turut serta dalam acara sebegini. “Saya juga menghargai peluang untuk berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan dengan pelajar lain,” kata pelajar prauniversiti dua dari Madrasah Aljunied itu.

Antara lain, dia berpeluang menerangkan mengenai artifak kentung atau alat bunyian untuk mengumumkan waktu sembahyang. Kentung yang dipamerkan di ACM itu berasal daripada sebuah masjid kampung di Singapura. Seramai 22 pelajar Madrasah Al-Arabiah dari menengah satu hingga menengah tiga pula menjadi ‘rakan membaca’ di sudut membaca karnival tersebut.

Mereka telah membimbing pengunjung cilik membaca buku bahasa Melayu daripada satu koleksi pilihan khas. Mengulas sokongan madrasah kepada kempen Bulan Bahasa tahun ini, Pengetua Madrasah Al-Arabiah, Encik Herman Cher Ma’in, berkata: “Bahasa Melayu ialah bahasa perantaraan dalam pembincangan topik agama, terutama sekali di kalangan masyarakat Muslim Singapura, walaupun saya akur bahasa Inggeris kini semakin popular dalam perbincangan tentang agama.

“Tetapi bahasa Melayu tetap utama dan kami harus memastikan pelajar dapat menguasai bahasa Melayu untuk menyampaikan ajaran Islam secara berkesan kelak.” “Saya bangga terlibat kerana bukannya selalu pelajar madrasah dapat turut serta dalam acara sebegini. Saya juga menghargai peluang untuk berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan dengan pelajar lain.”