Highlights

Jaguh Setahun Jagung

photo06Inspirasi Ramaja
Usia bukan hambatan pembahas Al-Irsyad juarai Bahas Belia Islam
haryani@sph.com.sg

PENYERTAAN mereka berlima ke gelanggang Bahas Belia Islam 2012 anjuran Belia Darul Arqam (Yoda), hanyalah sebagai satu pendedahan.

Memandangkan inilah kali pertama Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah menghantar wakil ke sesi debat yang masuk tahun ketiganya, mereka tidak menetapkan jangkaan yang tinggi akan mara ke peringkat akhir dan langsung bergelar juara. Tambahan pula, saingan mereka bagi pertandingan bahas Inggeris yang dibuka kepada belia berusia antara 16 tahun hingga 25 tahun itu bukan calang-calang.

Team Praxis yang bertikam lidah dengan mereka di peringkat akhir pertandingan pada 18 Julai lalu terdiri daripada dua mahasiswa undang-undang Universiti Nasional Singapura (NUS), seorang lulusan undang-undang NUS, seorang juara pidato dan seorang peserta program Mendaki Protege. Justeru, siapa yang tidak bimbang?

Bagaimanapun, Huzhaifah Mohd Kamal, Adli Faiz Anwar, Nur Aidah Sanwari, Nuha Amani Misbahuddin dan Mu’az Muhammad Johan, kesemuanya 16 tahun, menyahut cabaran mengupas mauduk-mauduk berat dengan yakin. Berkat kesungguhan dan semangat berpasukan mereka, Madrasah Al-Irsyad berjaya dinobatkan sebagai juara Bahas Belia Islam 2012. Kejayaan itu lebih manis apabila Huzhaifah, yang kaya dengan jenaka dalam setiap hujahnya, dipilih pembahas terbaik peringkat akhir dan pembahas terbaik keseluruhan siri bahas itu.

Nuha Amani yang lancar berbual pula, adalah pembahas terbaik peringkat saringan yang menemukan mereka dengan pasukan Yoda. Sewaktu ditemui di Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah minggu lalu, mereka merakamkan penghargaan kepada guru pembimbing, Encik Mohd Afandi Ahmad, dan dua mentor mereka yang merupakan bekas pelajar Al-Irsyad, Encik Abdul Halim Ali Akbar dan Cik Nur Sakinah Muhammad Elyas. Encik Abdul Halim kini adalah mahasiswa Imperial College of London, manakala Cik Nur Sakinah pula mahasiswa NUS.

Menceritakan perjalanan mencabar mereka yang disulami keseronokan berbincang dan menambah ilmu, Nur Aidah, yang bercita-cita menjadi doktor berkata: “Tentunya kami berdebar-debar menyertai perbahasan ini memandangkan ini adalah kali pertama kami masuk gelanggang bahas. “Di peringkat saringan sahaja, kami telah pun bertemu dengan pasukan Yoda yang memang handal. Mereka adalah penganjur yang lebih arif dan berpengalaman.

“Mauduk yang perlu kami tegakkan adalah Perubahan Hanya Boleh Dimulakan Dengan Keinginan. Kami mencari takrifan bagi setiap perkataan. Banyak masa diluangkan untuk berbincang dan mengandaikan apa yang mungkin diutarakan pihak lawan.” Menurutnya lagi, perdebatan tersebut mendorong beliau dan teman-temannya untuk berfikiran lebih kritikal, sesuatu yang kurang diamalkan sebelum ini.

Nuha Amani yang bercita-cita menjadi pakar psikologi pula menambah: “Mauduk-mauduk yang diberi memerlukan pemikiran mendalam. Ada mengenai teknologi rangkaian sosial, konsert dakwah mahupun perhimpunan jemaah. “Saya kira latar belakang kami sebagai pelajar madrasah banyak membantdu sebab kami boleh gunakan apa yang kami pelajari di sekolah atau bahan bacaan yang pernah kami semak sebagai sandaran berhujah. Selebihnya, kami dapat tajamkan kematangan dalam mengetengahkan isu-isu kontroversial.”

Beliau menambah, mereka terdorong menjalankan kajian lebih terperinci bagi menyelongkar isu-isu yang sebelum ini diambil ringan. Perbahasan ini juga adalah wadah kreatif bagi peserta kerana mereka perlu membuka tirai perbahasan dengan satu persembahan selama lima minit. Dalam peringkat akhir apabila mereka membangkang mauduk Konsert Dakwah Adalah Satu Mitos, mereka menampilkan watak ikon nasyid kontemporari, Maher Zain, yang dijayakan Huzhaifah. Ini disusuli dengan sesi debat tanpa celahan dan kemudian arena bidasan.

Ditanya apakah rahsia kejayaannya merangkul gelaran pembahas terbaik keseluruhan siri Bahas Belia Islam 2012, Huzhaifah yang bercita-cita mendalami bidang perbankan Islam berkata: “Saya berusaha memperbaiki hujah saya bagi setiap peringkat. Pembahas terbaik tidak seharusnya disemarakkan dengan emosi meluap-luap. Saya pernah ditegur kerana terlalu emosi. Seorang pembahas yang yakin harus tenang dan bijak menyisipkan humor agar penonton tidak bosan.” Mu’az, yang bercita-cita menjadi juruterbang, pula dipuji kerana tangkas membidas dan bermain dengan kata-kata bagi menumpaskan hujah lawan.

Manakala Adli Faiz yang ingin menjadi pensyarah dan bertindak selaku pembahas simpanan pula adalah pengkaji bahan bagi pasukannya. Setiap anggota pasukan dipilih kerana penguasaan bahasa Inggeris yang baik, mantap dan berkesan. Katab Nuha Amani: “”Kami diberitahu pengadil bahawa kamilah pasukan yang paling kurang bergantung pada skrip yang telah disiapkan. Hujah kami spontan dan kami aktif di arena bidasan. “Selain itu, gaya berhujah dan nada suara yang meyakinkan juga banyak membantu.”