Highlights

Nikmat Tilawah

photo05Johan qariah kanak-kanak juga juara pecut dan mahir renang berirama haryani@sph.com.sg

BACAAN ayat-ayat suci Al-Quran oleh Aliah Husna Khamsani memecah kesunyian malam.

Suara lembut tetapi penuh bertenaga gadis comel berusia 11 tahun itu membuat diri ini terpaku. Sudah dua kali Aliah Husna bergelar juara qariah kanak-kanak bagi Pertandingan Tilawah Al-Quran, anjuran Majlis Tilawah dan Tahfiz Al-Quran (MTTQ).

Kali pertama dia bergelar juara dan mewakili negara ke Brunei Darussalam sempena pembukaan Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Agama Brunei-Indonesia-Malaysia-Singapura (Mabims) adalah pada 2010.

Tahun ini, beliau sekali lagi dipilih sebagai johan qariah kanak-kanak kerana prestasi bacaannya yang cemerlang. Naib juara peraduan ini jatuh pada Nunazriah Dhahrulsalam, manakala tempat ketiga pula disandang oleh Hiqmah Nabilah Maswan. Aliah, pelajar darjah lima Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah, dalam pada itu juga pernah berada di tangga kedua peraduan serupa sebanyak dua kali, sekecil usia lapan tahun.

Kejayaan anak bongsu dalam keluarga tujuh beradik itu didorong pencapaian abang-abang dan kakak-kakaknya yang juga didedahkan pada pertandingan tilawah sejak kecil lagi. Salah seorang kakak Aliah, Cik Nurul Huda, 25 tahun, bahkan pernah mewakili Singapura ke Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2006 di Kuala Lumpur. Kakak sulungnya, Ustazah Nurul Izzah Khamsani, 27 tahun, pula adalah naib juara Pertandingan Tilawah Al-Quran (Kategori Dewasa), tahun ini dan tahun lalu. Sewaktu ditemui di rumahnya di Montreal Drive, sekitar kawasan Sembawang, Aliah menyifatkan membaca kitab suci Al-Quran sebagai amalan yang cukup menenangkan.

“Pada mulanya, saya sukar nak ‘tangkap’ dan lantunkan lagu bagi bacaan saya. Ia memerlukan latihan dan kesungguhan mencuba. “Baru-baru bertanding, memang rasa takut. Bagaimanapun, saya tidak lepas membaca Al-Quran setiap hari dan beristiqamah. “Biasanya, selepas maghrib dan setiap subuh (kalau cuti sekolah),” jelas Aliah. Bapanya, Encik Khamsani Karim, 54 tahun, seorang peniaga dan ibunya, Cik Norselah Ismail, 51 tahun, seorang suri rumah, menjadi pendorong utama. Mereka tidak pernah jemu mencari dan bereksperimen dengan kaedah baru atau berguru dengan yang arif dalam menggarap kemahiran membaca Al-Quran dan bertilawah.

Sebagaimana jelas Encik Khamsani: “Kami pastikan kami bergerak mengikut keperluan masa dan mencuba pelbagai teknik bacaan untuk menambah ilmu dan demi mencari keserasian si anak. “Pendek kata, untuk melihat anak-anak saya maju dalam arena tilawah ini, kami telah mencuba bermacam sistem – daripada sistem Al Bakri, sistem Iqra, Qiraati hinggalah Al-Baghdadi. “Pokoknya, kami tidak akan hanya ‘melekat’ pada satu sistem sahaja untuk meraih seberapa banyak ilmu yang termampu. “Guru-guru anak-anak saya pun ada pengkhususan sendiri. Ada yang mahir bab lagu. Ada pula bab hafalan.”

Bagaimanapun, secara tetap, Aliah berguru dengan Ustazah Zubaidah Haji Tahir di Masjid As-Syafaah. Sebilangan murid Ustazah Zubaidah berjaya dinobatkan sebagai juara tilawah. Ditanya bagaimana Aliah memiliki kawalan suara yang baik serta pernafasan yang lancar untuk membolehkannya menarik suara ketika bertilawah, gadis itu mengakui aktiviti renang, silat dan olahraga banyak membantu. Keluarga ini akan berlari-lari anak ataupun turun naik tangga bersama-sama sebagai latihan stamina.

Kecil-kecil, cili padi. Aliah juga adalah juara pecut di sekolahnya. Encik Khamsani dan Cik Norselah pula menghantar Aliah belajar renang dan renang berirama di Sekolah Renang Ang Peng Siong. Sekolah itu diusahakan bekas jaguh renang Singapura, Encik Ang Peng Siong. Aliah dan abangnya, Muhammad Tirmizi, 15 tahun, pelajar menengah tiga di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, turut mengikuti latihan silat di Perguruan Silat Seligi Tunggal Angkatan Singapura. “Sukan renang khususnya membantu saya mengawal pernafasan apabila perlu melagukan bacaan saya.

“Sukan-sukan lain pula untuk stamina dan kesihatan,” ujar Aliah. Mengenai pendidikan menyeluruh yang diterapkan beliau dalam diri Aliah, Encik Khamsani menjelaskan: “Memandangkan Aliah belajar di madrasah dan bergaul dalam kalangan anak-anak Melayu, kami berusaha memperluas rangkaian kenalannya meliputi pelajar bukan Melayu. “Sekurang-kurangnya, dia tidak canggung kelak. Pada masa yang sama, besar harapan saya jika Aliah dapat cedok seberapa banyak ilmu daripada jurulatih-jurulatih di sekolah renangnya.

“Mana tahu suatu hari nanti, ada rezeki, dia boleh buka sekolah renang sendiri dan menjadi jurulatih renang berirama buat Muslimah kita. Selepas berenang, boleh belajar membaca Quran bersama.” Cik Norselah pula menambah kursus renang yang disertai anaknya itu sistematik dan intensif, di mana pelajar pernah diminta berenang 20 pusingan tanpa henti.

“Sebagai ibu, kita lihat bakat anak kita dan kita berikan galakan kepadanya untuk cuba yang lebih baik lagi,” katanya. Begitulah kesungguhan yang ditampilkan keluarga ini dalam membangun semangat cinta Al-Quran dalam kalangan anak-anak. Yang nyata, tilawah bukan acara statik yang hanya memerlukan kefasihan Al-Quran atau suara yang lunak semata. Jika diseiringkan dengan aktiviti-aktiviti sihat seperti berenang dan olahraga, ia menjamin kesihatan fizikal dan rohani seseorang itu.