Highlights

Cinta Quran

photo04Juara Qari Kanak-Kanak Singapura ingin berjaya dalam peraduan tahfiz pula haryani@sph.com.sg

SEJAK usianya tiga tahun, Umar Khalid Zaid sudah pun meminati dan mengamati lagu-lagu nasyid yang dipersembahkan kumpulan Raihan, Rabbani dan Hijjaz.

Menyedari akan suaranya yang lunak itu, ibu bapanya, Encik Zaid Ismail dan Cik Norzana Ismail, bertekad menyalurkannya untuk aktiviti bermanfaat. Semasa Encik Zaid, 42 tahun, seorang jurulatih teknologi maklumat, dan Cik Norzana, 40 tahun, seorang penganalisis sistem, mencari-cari program pengayaan buat anak sulung mereka, timbul saranan daripada seorang teman.

Ibu rakan sedarjah Umar Khalid mengusulkan supaya pelajar Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah itu disertakan dalam kelas seni taranum yang dikendalikan untuk kanak-kanak di Masjid As-Syafaah. Belum cukup setahun menyertai kelas itu, guru pembimbingnya, Ustazah Zubaidah Haji Tahir, telah pun menyertakan Umar Khalid untuk Pertandingan Tilawah Al-Quran 2010, anjuran Majlis Tilawah dan Tahfiz Al-Quran (MTTQ).

Ia adalah bagi meluputkan perlahan-lahan rasa takut bertanding dan mendedahkan si cilik itu pada pengalaman menyertai pertandingan tilawah. Meskipun tidak berjaya mara ke peringkat akhir, pelajar yang cemerlang dalam Bahasa Arab di madrasahnya itu tidak gentar mencuba. Tahun lalu, dia menduduki tempat ketiga dalam peraduan tahunan yang dikendalikan MTTQ, majlis khusus yang dibentuk Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). Berkat kesungguhannya berlatih dan berbekalkan keinginan mempertingkatkan mutu bacaannya, Umar Khalid, 10 tahun, muncul sebagai johan qari kanak-kanak dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran 2012.

Naib juara peraduan adalah Md Ayman Roslee manakala tempat ketiga dimenangi Md Darwish Abdul Rahim, kededuanya murid Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah. Ketika ditemui, Umar Khalid berkata dia langsung tidak menjangkakan kemenangan yang dianggap sebagai rezeki dan pendorong untuknya terus berkecimpung dalam peraduan ini. “Saya memasuki peraduan tilawah bukan untuk menang, bukan juga untuk bersaing dengan teman-teman lain. “Saya sukakan seni membaca Al-Quran dan ingin memperbaiki alunan bacaan saya – bagaimana melagukannya dengan lebih baik.

“Lagipun, sewaktu berada di pentas auditorium Muis, saya gementar. Saya sangka teman-teman lain jauh lebih baik. “Bertanding dengan saya pun ada juara Pertandingan Tilawah Al-Quran 2011, Md Darwish. Jadi, tak sangka boleh jadi juara,” jelasnya dalam wawancara lebih sejam di rumahnya di Woodlands Avenue 6. Encik Zaid pula menyifatkan rancangan menghantar Umar Khalid ke kelas seni taranum sebagai proses pendedahan yang baik bagi membina keyakinan diri serta kecenderungannya terhadap ilmu bacaan Al-Quran.

“Kami sebenarnya menyertakan Umar ke dalam kelas seni taranum sebagai lanjutan pada ilmu pengetahuan yang dia raih di madrasah. “Kami harap dia dapat menggarap minatnya. Seni taranum adalah suatu aspek baru bagi kami suami isteri juga. Selepas Umar mempelajarinya, sedikit sebanyak kami terdorong untuk ambil tahu,” jelas bapa tiga anak itu.

Cik Norzana pula menambah beliau sendiri terkejut apabila Ustazah Zubaidah mengusulkan agar Umar Khalid bertanding di kala dia masih ‘hijau’ dalam bidang tilawah ini. “Saya tak pasti sama ada Umar sudah bersedia atau tidak sebab dia masih baru. “Bagaimanapun, ustazah memberi kami keyakinan dan sempat berpesan, tidak mengapa kalau anak ini masih baru dan belum mendalam ilmunya. “Dia masuk pun bukan untuk menang. Kalah menang, usah dipertikai. Yang penting ialah dia dapat berasakan pengalaman bertanding dan mempertingkatkan mutu pembacaannya dari tahun ke tahun,” katanya.

Umar Khalid, murid darjah lima, sendiri melihat peningkatan pada dirinya selepas menyertai pertandingan tilawah ini buat tiga tahun berturut-turut. Dia lebih berminat mendalami bacaan Al-Quran, bahkan sudah pun mengikuti program tahfiz dan ikut bertanding, sebagai langkah selanjutnya dalam memburu cita-citanya menjadi guru ukhrawi. Dia mempelajari beberapa jenis bacaan di dalam lagu-lagu taranum seperti Baiyati (enam jenis harakat bacaan); Soba (empat jenis harakat bacaan); Hijjaz (lima jenis harakat bacaan); Nahwand; Rast (masing-masing mempunyai lima jenis harakat bacaan) dan Jiharkah (empat jenis harakat bacaan).

Di ambang pertandingan, dia turut melalui latihan tambahan di bawah bimbingan naib juara qariah Pertandingan Tilawah Al-Quran (Peringkat Dewasa), Ustazah Nurul Izzah Khamsani. “Baru-baru sertai kelas taranum, memanglah payah bagi saya nak baca Al-Quran dengan lagu. Macam mana nak bezakan lagunya. “Lama-kelamaan, saya lebih faham. Saya hanya ingin memperbaiki tajwid, fasahah (sebutan dan di mana berhenti dan sambung) dan juga melembutkan suara saya bagi pertandingan-pertandingan akan datang.

“Sebab Ustazah beritahu, antara kekurangan bacaan saya adalah suara dan lenggok bacaan yang masih kedengaran kasar dan tidak lembut,” katanya yang juga minat bermain badminton, menyunting klip video keluarga dan mengetahui perihal MRT dan bas. Tumpuan Umar Khalid untuk tahun hadapan ialah mencatat kejayaan dalam pertandingan tahfiz yang juga diadakan seiringan dengan pertandingan tilawah. “Daya ingatan yang kuat diperlukan untuk peraduan tahfiz sebab ia lebih susah. Saya sudah mula sukakan tahfiz sebab ia membantu saya fasih Al-Quran,” katanya yang tidak sabar bertanding di peringkat serantau pula.

Ditanya sama ada beliau akan menghantar dua lagi anaknya – Muhammad Ammar, lima tahun, dan Muhammad Imrawn, empat tahun – ke kelas taranum atau tahfiz di masa akan datang, Cik Norzana berkata: “Harapan kami ialah melengkapi anak-anak kami dengan ilmu dan kemahiran mengenali Tuhan serta aspek sains di sebalik kitab suci Al-Quran yang mendedahkan tentang kebesaran Allah.” Encik Zaid pula berharap dapat mengenal pasti kecenderungan setiap anaknya, menghantar mereka bagi program pengayaan yang sesuai dan mendorong mereka memaksimumkan potensi mereka.