Highlights

Guru & bekas pelajarnya genggam Ijazah Sarjana

5 TERAS UTAMA PELAN KERJA KETIGA (2010-2012)

MELIHATKAN bekas pelajarnya yang sudah bergelar asatizah mempertingkat ilmu, Ustazah Rohana Ithnin terdorong mengikut jejak langkah mereka.

Bukan untuk bersaing tetapi demi kekal relevan dan meraih kemahiran serta metodologi baru dalam bidang pendidikan. Ustazah Rohana, 40-an tahun, Penolong Pengetua (Sekolah Menengah) Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah, merupakan antara 12 lulusan program Sarjana Sastera Pengajian Islam Antara Disiplin. Program perintis ini dikendalikan bersama Akademi Muis dan Universitas Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah di Jakarta, Indonesia.

Yuran tuisyen sebanyak $10,000 seorang bagi tempoh empat tahun, dibiaya Muis dan langsung dilunaskan ke UIN. Ia adalah sebahagian usaha Muis membangun kepakaran asatizah agar mereka bersedia menerajui kepimpinan dalam dunia moden. Tahun lalu sahaja, sekitar $350,000 diperuntukkan untuk pembangunan asatizah.

Salah seorang bekas murid Ustazah Rohana, Ustaz Yazid Muhamad Salleh, 30 tahun, imam eksekutif Masjid Alkaff Kampung Melayu, turut menjadi rakan sedarjahnya dan tampil sebagai pelajar terbaik kursus tersebut.Kursus yang dikendalikan di Singapura dengan program penghayatan dua minggu di UIN, meliputi tugasan dan penulisan tesis. Sebagaimana jelas Ustazah Rohana, ibu dua remaja: “Kami beruntung kerana pensyarah hebat diterbangkan khas untuk kami. Mereka berjaya membangkitkan semangat berdebat, berbincang, saling menegur dan mencungkil idea dari pelbagai sudut.

“Pengetahuan yang dikongsi membuka mata kami memandangkan ia berteraskan pelbagai pendekatan dalam mengkaji isu-isu keislaman, yang meliputi aspek sosiologi, antropologi, linguistik, falsafah dan sejarah.” Ustaz Yazid, bapa tiga anak lelaki pula menambah, beliau didorong berfikiran kritikal bagi memahami, menganalisis dan menghurai masalah sosial dan agama sekeliling.

“Yang ketara dan menarik bagi saya ialah aspek menganalisis trend. Kami diajar memerhatikan trend sedang membangun. “Apakah kesannya terhadap masyarakat dalam tempoh lima hingga 10 tahun mendatang? Apa yang perlu dilakukan demi kemaslahatan masyarakat?” tambahnya lagi. Pengalaman menghasilkan tesis tentunya merupakan detik keemasan tetapi mencabar bagi kededuanya. Ustazah Rohana menyiapkan tesis bertajuk ‘Institusi Agama Di Dalam Masyarakat Sekular’ di mana beliau menganalisis program lakaran institusi agama seperti Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) serta skim belia dan keluarga di masjid.

“Salah satu teori sekular adalah agama perlu dipraktikkan secara peribadi dan tidak perlu ada di arena terbuka. “Dengan menggunakan contoh program institusi agama itu, saya mengkaji bagaimana program-program ini menembusi ruang awam dan diadakan secara terbuka dalam masyarakat sekular,” ujarnya. Tesis Ustaz Yazid pula bertajuk ‘Pertembungan Ufuk Dalam Memburu Usaha Menuntut Kembali Keindahan’, satu kajian mengenai usaha mengembalikan keindahan Al-Quran.

Beliau mengkaji jerih payah cendekiawan Islam seperti Sheikh Amin Al-Khuli, Sayyid Qutb dan Nasr Hamid Abu Zayd dalam mengembalikan keindahan Al-Quran yang mewujudkan rasa terpegun, bahkan di kalangan golongan bukan Islam. “Namun, di sebalik nikmat kejayaan menamatkan kursus ini, banyak cabaran hebat saya hadapi sehingga boleh membuat saya menangis.

“Saya berhenti kerja untuk memberi tumpuan pada kursus saya. Maka, untuk membiaya kos pengajian, membeli buku dan tambang ulang-alik ke Jakarta, saya bekerja sambilan sebagai pemandu ambulans dan joki kereta di Penguasa Pelabuhan Singapura (PSA),” ujarnya yang merancang melanjutkan pengajian peringkat kedoktoran (PhD) di dalam bidang linguistik.