Highlights

Pengetua: Irsyad setaraf sekolah nasional

photo03RUMAH TERBUKA MADRASAH AL-IRSYAD
Pelbagai program baru diperkenal bagi memupuk kemahiran relevan, kreativiti dan pemikiran kritikal
adilaham@sph.com.sg

SETELAH lebih setahun mengambil alih tugas sebagai pengetua Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah, Encik Noor Isham Sanif kini berani menyatakan madrasah itu setaraf dengan sekolah nasional.

Sejak tahun lalu, madrasah tersebut telah memperkenalkan pelbagai program baru untuk memupuk kemahiran relevan, kreativiti dan pemikiran kritikal di kalangan para pelajarnya. Ditemui di rumah terbuka madrasah tersebut di Hab Islam Singapura, Braddell Road, baru-baru ini, Encik Noor Isham melahirkan keyakinan madrasah itu boleh berdiri sama tinggi dengan sekolah nasional.

“Bezanya, sebagai madrasah, kami selalu menekankan nilai-nilai dan pendidikan akhlak. Pada masa yang sama, kami juga ingin terapkan pembelajaran berteraskan kemahiran abad ke-21,” ujar Encik Noor Isham, 46 tahun. Bekas naib pengetua Sekolah Rendah Princess Elizabeth itu meninggalkan sistem pendidikan nasional untuk menyertai madrasah tersebut sebagai naib pengetua pada 2009.

Tahun lalu, beliau mengambil alih tugas Encik Razak Mohamed Lazim sebagai pengetua Al-Irsyad. Di bawah kepimpinan Encik Noor Isham, Madrasah Al-Irsyad telah memperkenalkan beberapa program baru termasuk bengkel Lego Mindstorms Robotics, BrainGym bagi mengasah daya fikir, dan kelas mingguan Bahasa Arab Lanjutan untuk meningkatkan penguasaan bahasa itu.

“Pendakwah-pendakwah masa depan tidak akan sama dengan pendakwah atau ulama masa lalu. “Mereka harus berupaya menghuraikan masalah dan berdaya kreatif untuk menangani sesuatu isu,” kata Encik Noor Isham. Pada masa depan, Encik Noor Isham berharap dapat memberi peluang kepada pelajar Al-Irsyad menyertai pertandingan Matematik Olimpiad dan mendedahkan para pelajarnya kepada isu-isu bidang sains seperti penggunaan sel induk.

Rumah terbuka di Madrasah Al-Irsyad itu turut memaparkan demonstrasi permainan membuat robot, Lego Mindstorms Robotics, oleh murid-murid madrasah itu, antaranya Muhammad Isyraq Abdul Aziz, 11 tahun. “Robotics mengajar kami bagaimana bekerja dalam sebuah pasukan. Kalau seorang sahaja yang buat, kerja ini akan menjadi susah dan mengambil masa lama,” kata murid darjah lima itu. Sekitar 300 ibu bapa mengunjungi rumah terbuka itu yang dianjurkan menjelang tempoh pendaftaran darjah satu bagi madrasah tersebut yang akan berlangsung pada 26-31 Mac ini.

Antara yang hadir ialah Cik Halimah Abdul Jalil, 25 tahun, yang berharap anak sulung lelakinya akan lulus ujian kemasukan dan mendapat tempat di madrasah tersebut. “Saya ingin anak saya fasih dalam bahasa Arab dan mahir dalam mata pelajaran ukhrawi kerana saya dan suami saya dahulu telah terlepas peluang melakukannya,” kata Cik Halimah sambil menambah bahawa beliau dan suaminya, seorang usahawan, mendapat pendidikan sekular.