Highlights

Mufti: Al-Irsyad perlu disokong

poto01Oleh
Shamsul Jangarodin

INDIVIDU dan badan korporat Islam digesa mengambil Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah sebagai ‘anak angkat’ demi penakatannya yang berterusan di masa hadapan.

Sokongan dan bantuan yang berterusan akan membolehkan madrasah itu berkembang dan meningkatkan prestasinya menandingi pencapaian institusi terbaik di rantau ini. Gesaan itu dibuat Mufti Syed Isa Semait semasa berucap kepada pegawai, guru, asatizah, murid dan ibu bapa di majlis perasmian pembukaan bangunan baru Madrasah Al-Irsyad di Hab Islam Singapura (HIS) semalam.

Mufti Syed Isa menegaskan kejayaan dan pencapaian Madrasah Al-Irsyad sukar dicapai tanpa bantuan dan sokongan masyarakat Islam. ‘Sokongan jitu masyarakatlah yang telah membolehkan Madrasah Al-Irsyad melahirkan graduan yang berjaya dalam pelajaran ukhrawi dan akademik, mampu berdikari dan bersaing di dalam arus globalisasi. ‘Al-Irsyad wajar disokong kerana ia telah mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai madrasah contoh yang progresif dan dinamik kerana keupayaannya menyesuaikan diri dengan konteks yang berubah tanpa perlu mengorbankan asas kukuh dalam pendidikan Islam,’ ujar Mufti Syed Isa lagi.

Beliau menukil laporan akhbar The New York Times di Amerika Syarikat yang menulis tentang usaha positif dan pandangan jauh madrasah itu dalam menerapkan applikasi teknologi maklumat dalam kaedah pembelajarannya. ‘Sebelum laporan itu, Al-Irsyad telah pun mengeksport model pendidikannya di dua sekolah di Indonesia yang mempunyai visi menjadi ‘Sekolah Bertaraf Antarabangsa’. ‘Malah, saya difahamkan pegawai dan guru Madrasah Al-Irsyad memainkan peranan penting dalam melatih dan membantu kedua-dua sekolah itu,’ kata Mufti Syed Isa.

Dimulakan sebagai Mahadul Irsyad di sebuah bangunan sekolah kecil di Kampung Quarry di Hindhede Road pada 1947, Madrasah Al-Irsyad kini mempunyai 900 orang pelajar sekolah rendah dan menengah yang dibekalkan dengan kurikulum yang komprehensif, bersepadu dan seimbang. Madrasah Al-Irsyad, bersama Madrasah Aljunied dan Madrasah Al-Arabiah, merupakan anggota Sistem Madrasah Bersama (JMS).

Meskipun Madrasah Al-Irsyad baru mendapat bangunan pertamanya yang tetap tahun ini, Mufti Syed Isa berkata ia telah menghasilkan ramai lulusan yang berjaya mendapatkan tempat di institusi pengajian tinggi dalam pelbagai jurusan, antaranya sains hayat, perakaunan, syariah, usuluddin, sains kemasyarakatan dan seni halus. ‘Cabaran yang bakal ditempuh masyarakat Islam Singapura semakin rumit dan kompleks yang memerlukan kekuatan minda golongan asatizah. ‘Mudah-mudahan Al-Irsyad akan melahirkan lebih ramai anak yang berjaya bagi mencari huraian kepada cabaran tersebut, bukan sahaja di Singapura, malah di rantau Asia ini,’ kata Mufti Syed Isa.