Highlights

Irsyad masih perlu lagi $3 juta

3juta-300x190By : Adli Yashir Kuchit
31/05/2009

MADRASAH Al-Irsyad berjaya mengumpul dana $2 juta sejak setahun lalu, sekali gus mengurangkan keperluan dananya kini kepada $3 juta bagi memenuhi kos pembinaan dan operasi pusat pendidikan tersebut.

Memberikan perangkaan pungutan dana tersebut, Pengarah Eksekutif Madrasah Al-Irsyad, Encik Razak Lazim, berkata pihaknya yakin dapat mencapai matlamat mengumpul baki $3 juta itu dalam masa “satu atau dua tahun” akan datang. “Kami warga Al-Irsyad bersyukur kerana masyarakat masih bersedia tampil menyumbang dana biarpun dalam keadaan kegawatan ekonomi sekarang. Oleh itu kami yakin dapat mencapai matlamat itu,” kata Encik Razak.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis jamuan teh di Hotel Furama Riverfront — salah satu acara yang diadakan untuk mengumpul dana bagi madrasah tersebut. Menurut Encik Razak, pihaknya telah menyusun program mengumpulkan dana sepanjang tahun ini termasuk menganjurkan sebuah karnival Julai ini. “Kami berharap dengan dana yang dikumpulkan akan dapat membantu melahirkan golongan pelajar dan asatizah yang bermutu lagi peka terhadap konteks kehidupan sekular dan berbilang kaum di Singapura,” katanya.

Turut hadir di majlis tersebut sebagai tetamu terhormat ialah Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central, Encik Zainudin Nordin. Berucap di majlis tersebut, beliau menggesa masyarakat setempat supaya menyokong usaha mengumpul dana madrasah tersebut. “Madrasah Al-Irsyad telah membuktikan bahawa ia adalah madrasah yang terbaik dengan pencapaian PSLE-nya yang terbaik di antara madrasahmadrasah.

“Munculnya empat daripada lima pelajar terbaik madrasah dari Irsyad juga memberikan gambaran yang jelas tentang mutu pendidikan yang disediakan,” ujar Mayor Zainudin. Madrasah Al-Irsyad juga telah mengharumkan nama Singapura apabila model Irsyad digunakan oleh dua sekolah di Indonesia yang ingin menubuhkan sebuah sekolah bertaraf antarabangsa. Majlis petang semalam turut diserikan dengan kehadiran Ustaz Abdullah Gymnastiar atau lebih dikenali dengan nama Aa Gym yang menyampaikan ceramah agama.

Acara tersebut turut memberi penghargaan kepada individu dan badanbadan yang telah menyumbang kepada dana pembangunan madrasah itu. Antara individu yang diiktiraf ialah Dato’ Mohd Zain Abdullah yang telah menyumbang kepada pembinaan perpustakaan madrasah dan Haji Mohamed Abdul Jaleel yang telah membiayai kos makmal komputer.