Highlights

Naib Pengetua berkaliber di Irsyad

mudir-baru-300x188Naib pengetua Madrasah Al-Irsyad mahu kongsi kemahiran
teknologi infokom dengan pelajar

By: Shamsul Jangarodin

KEINGINAN untuk berkongsi kemahiran dan pengalaman dalam menggunakan teknologi infokom (ICT) kepada pelajar madrasah merupakan antara faktor penting yang membuat Encik Noor Isham Sanif ‘bertukar angin’.

Bahkan, hasrat yang mendalam itu mendorongnya menyahut tawaran menjadi naib pengetua Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah. Itu bermakna beliau harus meninggalkan tugasnya sebagai naib pengetua di Sekolah Rendah Princess Elizabeth. “Saya tertarik kerana ia (Madrasah Al-Irsyad) berani menggunakan aplikasi teknologi dalam pedagogi pengajaran mereka, yang ada kalanya diabaikan guru-guru sekolah nasional,” kata Encik Noor Isham, 43 tahun.

Beliau ditemui di acara rumah terbuka madrasah tersebut di Hab Islam Singapura (HIS) Braddell Road, kelmarin. Encik Noor Isham berkata, beliau tertarik dengan sikap positif yang ditunjukkan para guru madrasah tersebut, tetapi keputusan beliau untuk ‘berpindah’ itu tidak semudah yang disangkakan. “Terus terang, tidak mudah bagi saya meninggalkan sekolah nasional setelah 16 tahun bersama Kementerian Pendidikan (MOE). Memang lumrah manusia untuk agak payah keluar dari zon selesa,” katanya.

Encik Noor Isham pernah mengajar di Sekolah Menengah Boon Lay dan Sekolah Menengah Ghim Moh. Beliau juga pernah menyandang jawatan ketua jabatan ICT selama lapan tahun dan beberapa jawatan penting dalam Kelompok Barat MOE yang merangkumi 13 buah sekolah rendah dan menengah. Setelah enam bulan memikirkan dan berbincang dengan isterinya yang juga seorang guru di sebuah sekolah nasional, serta melakukan solat istiharah, beliau mengambil keputusan meletak jawatan untuk memulakan tugas baru bersama Madrasah Al-Irsyad pada September 2008.

“Banyak yang perlu saya lepaskan untuk menerima jawatan ini termasuk insentif-insentif MOE dan peluang naik pangkat menjadi pengetua tidak lama lagi. “Namun, sejak hati saya terbuka menerima jawatan baru ini, saya maju ke hadapan dan tidak sesekali pandang ke belakang,” tambah beliau. Sebagai anggota kepimpinan terbaru institut pendidikan Islam itu, beliau bertanggungjawab ke atas sekitar 1,000 pelajar. Menyentuh cara-caranya membiasakan diri dalam sekitaran madrasah, Encik Noor Isham berkata guru-guru serta Pengarah Eksekutif Madrasah Al-Irsyad, Encik Razak Mohamed Lazim, telah banyak membantu dan mempermudah beliau dengan pelbagai istilah baru yang perlu dipelajari.

“Malah para pelajar sendiri telah banyak mengajar saya tentang pengalaman bersekolah di madrasah pada peringkat awal saya memulakan tugas. “Lagipun, saya berpegang teguh pada falsafah belajar hingga ke liang lahad. “Oleh itu, tidak perlu ada rasa malu untuk menimba ilmu dan pengetahuan baru,” kata Encik Noor Isham, yang mempunyai ijazah Sarjana dalam Pendidikan dengan pengkhususan ICT dan kurikulum pendidikan daripada Universiti Southern Queensland (USQ).

Sebagai seorang penyelidik bebas, Encik Noor Isham juga banyak membentangkan kertas-kertas persidangan mengenai pembangunan positif (constructivism) dalam matematik, penggunaan teknologi dalam pendidikan dan pembangunan kognitif kanak-kanak di beberapa persidangan antarabangsa di Jepun, Australia, Thailand dan Malaysia. Ditanya visi beliau untuk Madrasah Al-Irsyad, Encik Noor Isham berkata beliau ingin melihat Al-Irsyad menjadi contoh kepada madrasah-madrasah lain, bukan sahaja di Singapura malah di rantau ini. “Insya-Allah, ini boleh dilakukan dengan menggunakan kaedah pendidikan dan pedagogi bertaraf antarabangsa,” ujar bapa seorang anak perempuan berusia sebulan itu.

Nama: Noor Isham Sanif
Usia: 43 tahun
Jawatan: Naib Pengetua Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah sejak 1 September 2008

Pendidikan:
Sarjana Pendidikan ICT dan Kurikulum Pendidikan (USQ)
Sarjana Muda Kesusasteraan dan Sains Kemasyarakatan (NUS)
Diploma Pendidikan Possiswazah (PGDE)

Keluarga: Isterinya, seorang guru, dan mereka mempunyai seorang anak perempuan berusia sebulan.

Jawatan lama di MOE:

1. Naib Pengetua Sekolah Rendah Princess Elizabeth selama 4 tahun
2. Ketua Jabatan (HOD) ICT selama 8 tahun
3. Guru Sekolah Menengah Boon Lay dan Sekolah Menengah Ghim Moh
4. Penerima Pingat Produktiviti Nasional Spring Singapore 2001
5. Ketua Juara Innovasi (iChamps)
di Kelompok Barat MOE
6. Ketua Latihan Kerja Guru di Kelompok Barat MOE

Pengalaman Profesional:
Penyelidik bebas dalam pembangunan positif (constructivism) dalam pelajaran matematik, penggunaan teknologi dalam pendidikan dan pembangunan kognitif kanak-kanak