Highlights

Irsyad Cemerlang PSLE

admin-ajaxMurid madrasah mampu capai keputusan terbaik seperti sekolah sekular

By: Shamsul Jangarodin

MESKIPUN perlu mengambil sehingga 11 mata pelajaran, ia tidak sedikit pun menjadi halangan kepada Muhd Mus’ab Yusof untuk muncul sebagai pelajar madrasah terbaik bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini.

Pelajar Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah itu meraih gred A* bagi mata pelajaran Matematik dan Bahasa Melayu dan gred A bagi Inggeris dan Sains. Beliau meraih agregat 260 mata. Ditemui di madrasahnya semalam, anak sulung dua beradik itu gembira dan bersyukur dengan keputusan peperiksaannya itu. Ditanya tentang kunci utama kejayaannya, Muhd Mus’ab yang bercita-cita menjadi seorang guru berkata: “Saya harus pandai membahagikan masa dan saya bersyukur mempunyai keluarga, guru-guru dan rakanrakan madrasah yang banyak membantu saya.”

Muhd Mus’ab turut merakamkan penghargaannya kepada sekumpulan sukarelawan daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) yang banyak meluangkan masa membimbingnya dan teman-teman di madrasahnya. Ayahnya, Encik Yusof Kassim, berkata sekitaran madrasah yang baik serta penglibatan ibu bapa dalam meringankan tekanan yang dihadapi murid-murid turut memainkan peranan. “Pada hujung minggu, saya membawa keluarga bersiar-siar dan bermain permainan video. Ini memberi mereka peluang melepaskan tekanan daripada kerja-kerja sekolah,” jelas jurutera berusia 40 tahun itu.

Seorang lagi pelajar Madrasah Al-Irsyad yang turut cemerlang dalam PSLE tahun ini ialah Nabiha Safudin. Anak seorang peniaga dan pembantu penyelidik itu tidak sangka dapat meraih markah yang baik. Nabiha mendapat agregat 256 mata dan merupakan pelajar madrasah ketiga terbaik bagi PSLE. “Walaupun jumlah mata pelajaran saya banyak, saya tidak rasa tertekan kerana saya membuat jadual untuk belajar.

“Pada saya, pemilihan teman yang betul juga penting. Setiap kali teman-teman saya ajak keluar, saya akan sarankan ke perpustakaan kerana di sana dapat kami semua membaca,” jelas anak kedua daripada tiga beradik itu. Mengulas tentang pencapaian para pelajarnya, Pengerusi Eksekutif Madrasah Al-Irsyad, Encik Razak Mohamed Lazim, berkata beliau amat berpuas hati kerana keputusan tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu. “Keputusan hari ini bukan setakat usaha tahun ini sahaja, tetapi usaha-usaha yang bermula tiga tahun lalu,” ujar Encik Razak.

Bagi pelajar madrasah kedua terbaik PSLE tahun ini, Khazirah Mohd Helmy, pilihannya untuk ke madrasah enam tahun lalu ternyata tidak mengecewakan. Khazirah, yang merupakan pelajar terbaik Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah, meraih agregat 258 mata. Ditemui di madrasahnya, Khazirah berkata: “Setelah saya dapat keputusan peperiksaan awal yang kurang memuaskan, saya fikir sasaran yang saya tetapkan tidak begitu realistik. “Sebab itulah saya sangat terkejut dengan pencapaian saya ini.”

Ibunya, Cik Shareena Mohd Saniff, 38 tahun, berkata Khazirah memang seseorang yang sangat fokus dan berdisiplin. “Ini membuktikan bahawa murid-murid madrasah juga boleh cemerlang dalam mata pelajaran akademik sama seperti murid-murid sekolah sekular,” kata Cik Shareena. Khazirah bercita-cita menjadi seorang penyelidik dalam bidang sains.

Ketiga-tiga murid itu bercadang melanjutkan pelajara menengah mereka di madrasah.