Highlights

Mahir bahasa Arab

mahir-arab-200x300Madrasah perkenal kaedah pembelajaran interaktif dengan ibu bapa pelajar dilibat sama

Oleh Azahar Mohd

BERTUTUR dan menulis dengan tatabahasa yang betul dan lancar membaca Al-Quran dengan berlagu. Walaupun tanpa memiliki sebarang kemahiran asas bahasa Arab, setiap murid yang akan memulakan pengajian Darjah Tiga di Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah mampu melakukannya.

Keupayaan dan keyakinan setiap murid tidak datang bergolek, tetapi telah diterap sejak pihak madrasah mengorak langkah memperkenalkan pembelajaran bahasa Arab secara intuitif dan interaktif pada 2006. Menurut Ustaz Idham Halid Romli, Ketua Jabatan Bahasa Arab dan Pengajian Islam, di madrasah itu, pembelajaran cara lama banyak bersifat terjemahan semata-mata.

‘Ia kurang unsur interaktif dan ini menyebabkan murid-murid kurang berminat menguasai bahasa Arab. ‘Akibatnya, murid-murid kurang memberikan tumpuan, dan ini menjejas penguasaan kosa kata, yang merupakan perkara asas yang harus dimiliki murid-murid dalam pembelajaran bahasa Arab. ‘Hasilnya ialah murid-murid hanya bijak dalam menjawab soalan peperiksaan, tetapi kurang kemampuan atau keyakinan untuk bertutur dan berbahasa Arab dengan baik,’ ujar Ustaz Idham yang telah mengajar di madrasah itu lebih 12 tahun.

Antara langkah pertama yang diambil madrasah itu ialah mendapatkan kepakaran luar yang memperkenalkan bahan-bahan bacaan baru, menerap kaedah pembelajaran interaktif, mempertingkat kemahiran guru dan memperkenalkan pedagogi yang dapat disesuaikan dengan pembelajaran bahasa Arab sebagai bahasa kedua. ‘Perubahan paling ketara ialah kami mendapatkan penglibatan ibu bapa dalam penguasaan bahasa Arab murid-murid. Malah, di rumah, ibu bapa dibekalkan dengan buku audio lengkap dengan cakera padat (CD) supaya mereka dapat sama-sama berlatih bertutur bahasa Arab.

‘Bagi ibu bapa yang tidak mempunyai kemahiran asas, kami memperkenalkan Buku Panduan Waris untuk membantu mereka. ‘Bagi meningkatkan kosa kata bahasa Arab, murid-murid mendapatkannya dengan pelbagai cara – dengan melihat dan mendengar rakaman daripada penutur Arab, daripada perbualan dan perbuatan seperti berbahas, lakonan, drama, sajak, baca berita dan berpidato, yang dilakukan secara tetap di bilik darjah dan di luar bagi membantu mereka membina keyakinan diri dan keselesaan berbahasa Arab,’ ujar Ustaz Idham, lulusan Universiti Al-Azhar dalam bidang Syariah dan Sarjana Undang-Undang Islam dari Universiti Malaya.

Tahun lalu, Madrasah Al-Irsyad muncul sebagai madrasah terbaik dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) apabila empat muridnya muncul sebagai antara lima pelajar madrasah terbaik. Di bawah Sistem Madrasah Bersama (JMS), Al-Irsyad akan memberikan tumpuan kepada pendidikan madrasah peringkat rendah, Madrasah Aljunied sebagai madrasah peringkat menengah hingga posmenengah, sementara Madrasah Al-Arabiah pula sebagai madrasah yang menawarkan pendidikan akademik.

Namun, sebelum pembentukan JMS, ada sesetengah asatizah setempat melahirkan keprihatinan mereka terhadap keupayaan Madrasah Al-Irsyad melahirkan pelajar yang mampu menguasai bahasa Arab dengan baik. Menurut Ustaz Idham, selain kecemerlangan di peringkat PSLE, Madrasah Al-Irsyad telah pun melahirkan pembahas terbaik (2006, 2007, 2008) sewaktu Bahas Bahasa Arab Asia Tenggara yang melibatkan keenam-enam madrasah setempat selain sekolah agama dari Brunei dan Malaysia.

Malah, tahun lalu madrasah itu turut merangkul hadiah kumpulan pembahas terbaik. Selain memastikan para pelajar mempunyai sumber rujukan terbaik, yang dihasilkan sendiri oleh tenaga pendidiknya, Madrasah Al-Irsyad turut memanfaatkan penggunaan teknologi untuk memanfaatkan pengalaman di bilik darjah. Antara alat itu ialah papan tulis interaktif, data logger dan alat MP3.

‘Kami mendapati murid-murid lebih tertarik dan seronok apabila diberi peluang menggunakan peralatan seperti papan tulis interaktif, data logger dan alat MP3. ‘Kami harap dapat menambah penggunaan metodologi dan kaedah pengajaran ini bagi meningkatkan kemahiran pelajar,’ ujar beliau, yang kini mengambil Diploma Pendidikan di Institut Pendidikan Nasional (NIE). Untuk mencerminkan keyakinan dan keselesaan para pelajar Madrasah Al Irsyad dalam penguasaan bahasa Arab, murid-muridnya turut memanfaatkan laman perkongsian YouTube bagi mengetengahkan keupayaan mereka berbahasa Arab.

Selain murid-murid, para asatizah di Madrasah Al-Irsyad juga diberi latihan mempertingkatkan kemahiran mereka sebagai pendidik. Cara mereka mengajar dirakamkan. Bahan rakaman tersebut dikongsi bersama dengan asatizah-asatizah lain. Ia kemudian dijadikan bahan untuk memperbaiki lagi kaedah mengajar. Tidak secara langsung, ini membolehkan para pendidik menerap amalan terbaik dalam teknik pengajaran mereka. Para asatizah juga diberi kesempatan mempertingkatkan kemahiran dan kelulusan mereka, termasuk dalam sistem pendidikan nasional. Pengarah Eksekutif Madrasah Al-Irsyad, Encik Razak Mohamed Lazim, berkata dalam masa terdekat beliau mahu melihat Madrasah Al-Irsyad menjadi pusat rujukan utama pembelajaran bahasa Arab, terutama di rantau Nusantara.