Highlights

Irsyad Zuhri Baru

561179_536387449745967_71004698_nGuru dan pelajar nikmati suasana pembelajaran baru di Madrasah Al-Irsyad PELAJAR dan asatizah Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah memulakan persekolahan dengan sekitaran serba baru. Mereka menggunakan bangunan baru Madrasah Al-Irsyad yang terletak di pekarangan Hab Islam Singapura (HIS) di Braddell Road sejak penggal sekolah dibuka Jumaat lalu.

Bangunan setinggi lapan tingkat itu dilengkapi pelbagai kemudahan yang baru dan canggih seperti makmal sains, makmal komputer, papan tulis interaktif dan projektor di setiap bilik darjah. Madrasah Al-Irsyad juga memperkenalkan sistem pendidikan sokongan yang lebih baik bagi memaksimumkan kemampuan setiap pelajarnya. Menurut Pengarah Eksekutif Jawatankuasa Pengurusan Madrasah Al-Irsyad, Encik Razak Mohd Lazim, langkah memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat adalah sejajar dengan sekitaran canggih masa kini. “Pelajar madrasah kini lebih selesa dengan teknologi maklumat (IT) lantas penggunaan IT di dalam bilik darjah dapat memastikan pengalaman pelajar mampu dipertingkat melalui kaedah IT yang menarik dan berinteraktif,” kata Encik Razak. Guru-guru Madrasah AlIrsyad juga menggunakan alat pembelajaran canggih seperti alat perakam suara, alat Kakuro (mirip alat permainan Sudoku) dan pelbagai sistem interaktif.

Madrasah Al-Irsyad juga telah menghasilkan sendiri siri buku yang diberi nama Umar dan Maryam – ala siri buku Peter and Jane – untuk membantu pembelajaran bahasa Arab secara berperingkat. Ketika ditemui, Cik Fauziah Mustafa, 29 tahun, guru bahasa Inggeris di Madrasah Al-Irsyad, berkata beliau berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan di bangunan baru itu. “Mengajar kini lebih mudah dengan adanya kemudahan baru, sumber-sumber pengajaran canggih dan sokongan IT. Murid-murid saya juga lebih ghairah sebab serba-serbi baru,” ujarnya, yang telah mengajar di madrasah itu sejak Jun 2007.

Seorang pelajar madrasah, Muhammad Munir Osman, 14 tahun, berasa ghairah dengan kemudahan yang disediakan. “Saya suka dengan kantin baru kami yang baru dan bersih. Sekarang tiada lagi masalah burung-burung hinggap di atas meja dan kucing berkeliaran.” Nurfa’iqah Mohamed, 14 tahun, pula mendapati lebih mudah bagi dirinya dan teman-teman lain menumpukan perhatian kepada yang diajarkan oleh guru dalam suasana pembelajaran di bangunan baru ini.

Madrasah Al-Irsyad merupakan sebahagian daripada HIS. Selain madrasah itu, kompleks itu juga akan menempatkan Masjid Muhajirin, Pusat Islam Singapura dan ibu pejabat Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). Ibu saudara seorang pelajar Madrasah Al-Irsyad, Cik Tazimah Talib, 42 tahun, berkata: “Apabila melihat bangunan Irsyad yang baru ini, saya rasa derma yang dihulurkan selama ini berbaloi. “Kalau ada tetamu dari luar negara, rasanya tak malu nak tunjukkan madrasah kita.”